MESYUARAT PENSIJILAN PEMATUHAN SYARIAH ANTARA KMMB DAN ANGKASA

Kongsikan Artikel Ini

Mesyuarat Pensijilan Pematuhan Syariah antara KMMB dan ANGKASA

Kuala Lumpur, 9 September 2025 – Koperasi Muslimin Malaysia Berhad (KMMB) telah mengadakan mesyuarat bersama Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) bagi membincangkan proses serta pelaksanaan berkaitan Pensijilan Pematuhan Syariah.

Mesyuarat ini dihadiri oleh wakil ANGKASA, iaitu Ustaz Abdul Hafis Mohd Saiden dan Ustaz Muhamad Izmul Nizam bin Zubairi daripada Syeksyen Pematuhan Syariah, Bahagian Pengurusan dan Pembangunan Syariah. Dari pihak KMMB pula, hadir sama Haji Muhammadewa bin Said @ Ibrahim (Timbalan Pengerusi) dan Haji Mohamad Noor bin Mohamad (Setiausaha) sebagai wakil Anggota Lembaga Koperasi (ALK). Turut hadir semua Ketua Jabatan & Ketua Seksyen KMMB.

Sesi perbincangan ini diadakan bagi memastikan produk dan aktiviti koperasi yang dijalankan sentiasa berada dalam kerangka prinsip Syariah selaras dengan garis panduan yang telah ditetapkan oleh Garis Panduan Tadbir Urus Syariah (GP 28) Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM). Pensijilan Pematuhan Syariah ANGKASA yang mula dilaksanakan sejak tahun 2010 berfungsi untuk memberi nasihat, rundingan, bimbingan, audit serta pengiktirafan kepada koperasi yang memenuhi piawaian Syariah.

Dalam mesyuarat ini, KMMB diberikan penerangan mengenai proses pensijilan yang merangkumi permohonan, rundingan, semakan dokumentasi, penilaian Syariah, mesyuarat Jawatankuasa Syariah ANGKASA, pembayaran fi pensijilan, sehinggalah kepada pengeluaran sijil rasmi dan audit berkala. Proses ini amat penting bagi memastikan operasi koperasi berjalan dengan telus, berintegriti, dan selari dengan kehendak Syariah.

ANGKASA turut berkongsi bahawa pelbagai produk koperasi seperti tawarruq, qard, ar-rahnu, ijarah, murabahah, wakalah, wa’d, dan bai’ salam boleh dinilai dan disahkan sebagai patuh Syariah. Dengan adanya sijil pengiktirafan ini, koperasi bukan sahaja menambah keyakinan anggota, malah turut memperkukuh kedudukan koperasi sebagai institusi ekonomi yang diyakini masyarakat.

KMMB merakamkan penghargaan kepada ANGKASA atas kerjasama dan bimbingan berterusan. Mesyuarat ini diharap dapat membuka ruang yang lebih luas dalam memperkukuhkan peranan KMMB sebagai koperasi patuh Syariah serta memberi manfaat yang lebih besar kepada anggota.

Langgani Artikel Terkini

Dapatkan Artikel Terkini Terus Ke Inbox Anda

Artikel Lain Untuk Diterokai