Sambutan Hari Lahir Staf Koperasi (Januari – Jun) 🎉
13 Ogos 2025 – Koperasi Muslimin Malaysia Berhad telah mengadakan sambutan hari lahir bagi meraikan staf yang lahir antara bulan Januari hingga Jun. Majlis ini diadakan sebagai tanda penghargaan atas dedikasi, komitmen, dan sumbangan para staf dalam memastikan kelancaran operasi Koperasi, di samping mengeratkan hubungan silaturrahim antara warga kerja.
Majlis yang berlangsung di bilik mesyuarat tingkat 1 ini turut dihadiri oleh Ahli Lembaga Koperasi (ALK) iaitu Mejar (B) Haji Azman bin Ab Karim, dan diketuai oleh Pengerusi BAKOM, En. Abdul Latiff. Kehadiran mereka menyerikan lagi suasana yang penuh mesra, harmoni, dan meriah.
Acara dimulakan dengan ucapan ringkas daripada pihak pengurusan yang menyampaikan kata-kata penghargaan kepada semua staf atas usaha dan dedikasi mereka. Setiap staf yang diraikan menerima hadiah istimewa sebagai tanda kenangan daripada pihak Koperasi. Majlis turut dimeriahkan dengan potongan kek hari lahir, jamuan ringan, serta sesi bergambar bersama kakitangan yang diraikan.
Wajah-wajah ceria jelas terpancar, menandakan sambutan ini berjaya membawa kegembiraan dan mengurangkan tekanan kerja harian. Pihak Koperasi berharap agar penganjuran majlis seperti ini dapat diteruskan pada masa akan datang sebagai salah satu inisiatif menghargai warga kerja yang menjadi tunjang kekuatan organisasi, di samping memupuk semangat kerja berpasukan yang kukuh.

